Mungkin anda pernah alami situasi di mana pada hari-hari biasa, selepas habis kerja, selesai makan, solat dan berehat anda termenung dan berfikir sebelum tidur, betapa penatnya anda sehari-hari. Seperti yang kita maklum, kebanyakan masa kita dihabiskan di tempat kerja/pejabat. Dalam sehari 8 jam kita peruntukkan hanya untuk mencari sesuap nasi. Secara tidak langsung kehidupan di tempat kerja sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan peribadi anda. Mungkin anda agak pelik kenapa anda seperti keletihan yang amat selepas habis bekerja padahal tuntutan kerja bukanlah yang menggunakan tenaga berlebihan dan diikuti pula gangguan perasaan seperti di bawah:-
1. Anda rasa kosong.
- Anda sebenarnya memerlukan kebahagiaan dan kegembiraan yang bagi anda belum hadir dalam hidup. Kebahagiaan dan kegembiraan itu sebenarnya datang dari diri anda sendiri. Anda yang sepatutnya mencorakkannya dan ia bukan datang bergolek. Kesunyian yang anda rasa mungkin bila anda rasakan semua perkara terlalu rutin. Kalau anda jenis mempunyai rutin yang sama setiap hari termasuk di tempat kerja, mungkin ini yang anda rasa. Mungkin anda boleh cuba menggembirakan hati anda sendiri dengan buat perkara yang anda suka samada tengok wayang, membeli-belah atau lepak bersama kawan-kawan selepas waktu bekerja atau pada hari cuti anda. Kalau anda tidak mempunyai kawan sekalipun tidak semestinya anda tidak boleh berseronok kan? Cari minat anda dan janganlah ikutkan perasaan hati sehingga mengikis semangat anda. Sebaiknya anda mendekatkan diri dengan Tuhan dan mengadulah kepadaNya. Kebahagiaan akan datang dari dalam diri anda.
2. Penat jadi orang lain.
- Tuntutan kerja kadang-kadang memerlukan anda memberi segalanya demi kelangsungan hidup. Profesionalisme di tempat kerja memaksa anda untuk bertindak secara rasional tanpa sebarang sebab peribadi. Kerenah bos dan pelanggan terpaksa ditangani dengan sabar dan anda merasakan anda terpaksa berpura-pura menjadi orang yang bukan diri anda sendiri. Sedikit sebanyak ia memberi anda tekanan. Perlu diingat yang boleh diubah hanyalah diri kita sendiri, bukan orang lain, apatah lagi melibatkan ragam pelbagai manusia dari serata tempat yang berbeza tingkahlaku, adat dan kepercayaan serta undang-undang. Anda bukannya perlu mengubah serta-merta diri anda untuk orang lain tetapi anda cuma perlu melalui proses penyesuaian diri terhadap orang sekeliling. Anggaplah tempat kerja seperti pentas di mana anda perlu 'berlakon', dan apabila tamat 'role' anda maka ia tamat di situ sahaja. Tidak perlu terbawa-bawa hingga ke tempat lain, dan itulah namanya profesionalisme.
3. Masih di takuk yang sama.
- Anda merasakan tiada pencapaian sepanjang anda bekerja dan ia mula memudarkan semangat anda saban hari. Tanyalah diri anda apakah usaha anda ke arah kemajuan anda sendiri. Jika usaha anda melebihi tahap pencapaian anda sekarang maka mungkin anda perlu mencari peluang di tempat lain. Jika tiada usaha ke arah itu maka berhentilah membandingkan diri dengan orang lain yang pencapaiannya lebih dari anda. Jangan biarkan rasa rendah diri menghantui anda, berusahalah demi hidup anda sendiri. Tak perlu kisah dengan apa orang lain katakan tentang diri anda. Anda memang akan berada di takuk yang sama jika terlalu mengambil berat pandangan orang lain terhadap anda. Jangan terlalu lama berada dalam zon selesa jika inginkan kemajuan.
4. Tidak dihargai.
- Segala usaha yang dikerah langsung tidak dihargai malah yang kuat membodek sudah beberapa kali dinaikkan gaji atau pangkat. Jangan buang masa anda bersedih. Cari kelemahan dan kelebihan anda, dan kaji di mana kekurangan anda sehingga anda dipandang sepi orang di sekeliling anda. Kalau masalah bukan datang dari anda tetapi dari pihak pengurusan tempat kerja, intai saja peluang di tempat lain kalau anda tidak dapat bersabar. Sesetengah orang mungkin memilih untuk tak kisah asalkan gaji masuk tiap-tiap bulan. Tepuk dada tanyalah hati.
5. Merasa tidak cukup.
- Anda merasa penat untuk gaji yang tidak seberapa. Sebulan penat lelah dan bila tibanya hari gaji, keesokannya anda telah pun pokai kerana banyak komitmen yang perlu dilunaskan. Walaupun selesa dengan bos yang baik hati, kawan-kawan yang sekepala dan memahami tetapi bila hujung bulan anda mula sakit kepala. Kalau anda bekerja swasta, mungkin anda boleh berbincang dengan bos atau pihak pengurusan tentang masalah ini dan tanyakan pendapat bagaimana anda boleh menambah pendapatan, mungkinkah dengan menambah skop kerja anda? Mana tahu kan. Alternatif lain mungkin anda boleh cuba menjana pendapatan secara sampingan, tetapi yang ini memerlukan pengorbanan dari segi masa dan tenaga. Kalau semua pun tidak berhasil, mungkin sudah masanya anda mengintai kerja lain yang dapat memberi jumlah gaji yang anda harapkan.
Jika semua di atas ada dalam fikiran anda sebelum anda tidur, maka bertindaklah. Jangan sakitkan kepala anda dengan masalah-masalah begini. Hidup sudah pun dipenuhi dengan cabaran, jadi selesaikan apa yang perlu. Barulah kita dapat menikmati hidup yang lebih tenang. Kalau masalah-masalah kecil dikumpulkan sudah tentu akan jadi masalah yang lebih besar.
P/S: Khas untuk diri aku sebenarnya yang rajin sangat memikir sebelum melelapkan mata. Hehe
No comments:
Post a Comment