LAZADA

Lazada Malaysia

Sunday, 21 December 2014

Sakit Pinggang



Aku sebenarnya dah 3-4 hari jugak kena sakit pinggang belakang sebelah kiri, selain demam menggigil yang on and off. Bila aku search kat google (biasalah nak self-diagnose dulu), kebanyakannya berpunca dari masalah buah pinggang. Aku ingat sebelum ni ada beberapa kali aku tahan kencing, dan kurang minum air. Masa tu pun aku travel, macam aku balik Muar atau pergi Singapore. Aku ingat masa tu aku kurang minum air putih, nak travel jauh fikir kalau minum banyak air nanti nak terkencing payah pulak. Bukan macam kaum lelaki yang kes emergency boleh kencing kat pokok je. Bila rasa nak kencing pulak masa tu kereta memang tak dan nak berhenti, adik aku pun drive laju nak cepat sampai so jawabnya tahan je lah. Masa tu aku dah rasa pundi kencing aku tak selesa, macam pedih ngilu je. Kencing pun tak lawas. Aku dah biasa kena macam ni, biasa kalau sekali dua minum air barli ok dah. Tapi kali ni macam lambat je eloknya walaupun dah minum air barli.

Aku kencing mula rasa sakit gitu. Then baru-baru ni aku rasa sakit semacam pulak kat pinggang belah belakang, sebelah kiri je plak tu. Sebelum kena tu, aku kena kembung yang agak teruk. Tak cukup dengan tu aku kena symptom GERD iaitu Gastroesophageal Reflux Disease (payah beno nak menyebutnye kan hehe). Dia macam pedih ulu hati jugak, tapi GERD ni bila asid tu naik sampai ke esofagus. Masa ni lah dada rasa macam terbakar dan tekak rasa perit. So memang dapat in package lah. Masa tu ingat angin je, tapi pelik sangat angin ni menyerang sampai bergerak pun sakit. Aku duk mengerang je masa tu. Oh ye aku pun rasa sejuk macam nak demam, muka pun pucat. Aku pergi berurut, minta tolong kawan aku cari tukang urut. So adalah makcik kelantan ni, urut sejam RM50. Masa dia urut tu mak aii, sangat lah sakit. Tapi tak ada plak aku sedawa ke kentut ke. Dia yang sedawa adalah.

Pendek kata makcik tu berjaya keluarkan angin dalam badan aku, RM70 aku kena sebab lebih sejam. Tak kisahlah, makcik tu pun nak cari makan. Lagipun banyak tenaga dia guna untuk urut badan aku yang agak gebus ni hehe. Tapi tak lama lepas tu jadi balik angin tu, demam pun dapat balik. Selera makan pun tak ada, rasa menyesal jugak pergi urut sebab aku syak masalahnya mungkin berpunca dari dalam badan aku. Bukan semata-mata angin macam makcik tu cakap. Tapi takpelah aku fikir dah rezeki makcik tu kot. Aku cuba pulak minum air rendaman daun pecah beling (Ibu ada bagi masa kat Muar bila aku cerita pasal kencing kotor). Ibu cakap daun ni bagus untuk sembuhkan batu karang atau nak lawaskan kencing. So aku cuba lah.

Amik dari blog orang..hehe. Daun pecah beling yang dah dikeringkan. (Maaf tak sempat nak amik gambar daun pecah beling sendiri lagi pulak tengah sakit-sakit tu)


Esoknya kondisi masih sama, demam on and off siap menggigil lagi. Hasil gugelan aku, kalau demam ni tandanya ada infection. Aku bertangguh nak check kat klinik sampai lah hari ketiga aku sakit. Pergi klinik kerajaan je, masa saringan kat pesakit tu nurse mention kena amik darah. Mungkin sebab demam dah 3 hari. Bila sampai no giliran kena jumpa doktor, doktor cakap darah merah aku sikit dan tak normal jadi dia suspect aku kena denggi la pulak. Aku malas la nak mengajar doktor pulak kan hasil gugelan aku tu, dah tentu doktor tu kena belajar medic 6 tahun dulu baru leh jadi doktor. Tapi aku memang yakin aku bukan kena denggi sebaliknya ada masalah atau jangkitan je kat buah pinggang aku. Dah tentunya aku sakit pinggang sebelah kiri kan. Tapi doktor beriya jugak, katanya aku duduk kat kawasan denggi jadinya aku jadi pesakit pemantauan denggi camtu la lebih kurang. Dia bagi aku kertas untuk appointment check darah semula esoknya. So dia bagi aku paracetamol, antibiotik dan ubat kencing kotor sebab aku mengadu aku kencing kotor.

So malam tu aku cuba telan antibiotik dan serbuk untuk kencing kotor tu. Dan masih minum air rendaman pecah beling. Esoknya bangun tidur aku dah segar sikit, tak ada demam dan sakit pinggang pun berkurang. Mungkin kesan antibiotik tu kot. Bila aku check darah semula kat klinik tu, doktor pun dah sahkan aku tak ada denggi dan darah merah aku dah naik semula. Dan sampai sekarang, aku masih on antibiotik dan minum air daun pecah beling. Alhamdullah beransur sihat. Cuma aku masih serik takut kena lagi macam tu, aku agak jaga pemakanan aku dan aku tak minum air berwarna kecuali air suam. Aku makan macam biasa cuma dalam kuantiti sikit, tak pedas dan berlemak sangat. Kalau tak ada sayur aku akan pastikan aku makan buah lepas tu. So tak ada dah pedih ulu hati atau GERD tu, dan tak ada kembung-kembung perut bila aku jaga makan macam ni. Bab minum pulak, aku memang minum banyak gila air masak. Semuanya beransur pulih, dah tak lemah lagi cuma aku masih pucat. Tak tahu lah sebab apa. Period yang aku nantikan pun tak kunjung tiba, padahal dah lebih 2 bulan ni. Aku ingat aku memang kena turunkan berat badan kot baru stabil kesihatan badan aku ni.

Kesimpulannya, penyakit aku tu memang misteri sebab jumpa doktor pun doktor tak cakap apa puncanya. Aku cuma boleh agak mungkin disebabkan jangkitan kat buah pinggang dari pundi kencing disebabkan aku ada tahan kencing sebelum ni dan kurang minum air. So pengajaran jugak lah bagi aku. Aku nak train perut aku ni makan sikit-sikit dulu, baru aku akan diet secara hardcore. Jai youk!! Demi kesihatan diri ni yang dah masuk 30 series. Hehe..

Friday, 5 December 2014

NOVEL RAM : Baru nak mencuba

Ramlee Awang Murshid. Nama penulis thriller Malaysia yang agak gah. Sejujurnya aku belum pernah membaca novel-novel beliau. Aku memang suka membaca, tapi belum secara agresif membeli novel-novel lagi. Setakat ni aku lebih suka baca benda-benda berunsur mistik, thriller dan misteri. Ada jugak novel Bahasa Inggeris yang aku baca di kala kebosanan. Aku banyak membaca kat Internet sebenarnya, dan adalah aku register kat forum-forum. Kebanyakan orang yang hasil tulisan dalam thread forum yang aku baca tu, minat hasil karya RAM. Dan aku research la jugak. Dah banyak novel beliau yang keluar, banyak yang trilogi pulak tu. Jenuh aku kena beli dari keluaran awal. Tapi aku sempat survey kat Popular tadi, dan target nak beli dalam 2-3 novel beliau. Hehe.

Yang ni aku nak beli dulu sebab macam menepati minat dan citarasa aku je hehe.


Ni yang latest kot. Nampak menarik gak hehe. Tengah bulan ni aku serang Popular beli 2 novel yeehuuu

P/S: Sape ada cadangan atau review sila lah kongsi ye..hehe



Thursday, 4 December 2014

SELAMI DIRI: Hidup anda cukup bagus? FIKIR balik



Mungkin anda pernah alami situasi di mana pada hari-hari biasa, selepas habis kerja, selesai makan, solat dan berehat anda termenung dan berfikir sebelum tidur, betapa penatnya anda sehari-hari. Seperti yang kita maklum, kebanyakan masa kita dihabiskan di tempat kerja/pejabat. Dalam sehari 8 jam kita peruntukkan hanya untuk mencari sesuap nasi. Secara tidak langsung kehidupan di tempat kerja sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan peribadi anda. Mungkin anda agak pelik kenapa anda seperti keletihan yang amat selepas habis bekerja padahal tuntutan kerja bukanlah yang menggunakan tenaga berlebihan dan diikuti pula gangguan perasaan seperti di bawah:-




1. Anda rasa kosong.
- Anda sebenarnya memerlukan kebahagiaan dan kegembiraan yang bagi anda belum hadir dalam hidup. Kebahagiaan dan kegembiraan itu sebenarnya datang dari diri anda sendiri. Anda yang sepatutnya mencorakkannya dan ia bukan datang bergolek. Kesunyian yang anda rasa mungkin bila anda rasakan semua perkara terlalu rutin. Kalau anda jenis mempunyai rutin yang sama setiap hari termasuk di tempat kerja, mungkin ini yang anda rasa. Mungkin anda boleh cuba menggembirakan hati anda sendiri dengan buat perkara yang anda suka samada tengok wayang, membeli-belah atau lepak bersama kawan-kawan selepas waktu bekerja atau pada hari cuti anda. Kalau anda tidak mempunyai kawan sekalipun tidak semestinya anda tidak boleh berseronok kan? Cari minat anda dan janganlah ikutkan perasaan hati sehingga mengikis semangat anda. Sebaiknya anda mendekatkan diri dengan Tuhan dan mengadulah kepadaNya. Kebahagiaan akan datang dari dalam diri anda. 



2. Penat jadi orang lain.
- Tuntutan kerja kadang-kadang memerlukan anda memberi segalanya demi kelangsungan hidup. Profesionalisme di tempat kerja memaksa anda untuk bertindak secara rasional tanpa sebarang sebab peribadi. Kerenah bos dan pelanggan terpaksa ditangani dengan sabar dan anda merasakan anda terpaksa berpura-pura menjadi orang yang bukan diri anda sendiri. Sedikit sebanyak ia memberi anda tekanan. Perlu diingat yang boleh diubah hanyalah diri kita sendiri, bukan orang lain, apatah lagi melibatkan ragam pelbagai manusia dari serata tempat yang berbeza tingkahlaku, adat dan kepercayaan serta undang-undang. Anda bukannya perlu mengubah serta-merta diri anda untuk orang lain tetapi anda cuma perlu melalui proses penyesuaian diri terhadap orang sekeliling. Anggaplah tempat kerja seperti pentas di mana anda perlu 'berlakon', dan apabila tamat 'role' anda maka ia tamat di situ sahaja. Tidak perlu terbawa-bawa hingga ke tempat lain, dan itulah namanya profesionalisme. 




3. Masih di takuk yang sama.
- Anda merasakan tiada pencapaian sepanjang anda bekerja dan ia mula memudarkan semangat anda saban hari. Tanyalah diri anda apakah usaha anda ke arah kemajuan anda sendiri. Jika usaha anda melebihi tahap pencapaian anda sekarang maka mungkin anda perlu mencari peluang di tempat lain. Jika tiada usaha ke arah itu maka berhentilah membandingkan diri dengan orang lain yang pencapaiannya lebih dari anda. Jangan biarkan rasa rendah diri menghantui anda, berusahalah demi hidup anda sendiri. Tak perlu kisah dengan apa orang lain katakan tentang diri anda. Anda memang akan berada di takuk yang sama jika terlalu mengambil berat pandangan orang lain terhadap anda. Jangan terlalu lama berada dalam zon selesa jika inginkan kemajuan. 




4. Tidak dihargai.
- Segala usaha yang dikerah langsung tidak dihargai malah yang kuat membodek sudah beberapa kali dinaikkan gaji atau pangkat. Jangan buang masa anda bersedih. Cari kelemahan dan kelebihan anda, dan kaji di mana kekurangan anda sehingga anda dipandang sepi orang di sekeliling anda. Kalau masalah bukan datang dari anda tetapi dari pihak pengurusan tempat kerja, intai saja peluang di tempat lain kalau anda tidak dapat bersabar. Sesetengah orang mungkin memilih untuk tak kisah asalkan gaji masuk tiap-tiap bulan. Tepuk dada tanyalah hati. 



5. Merasa tidak cukup.
- Anda merasa penat untuk gaji yang tidak seberapa. Sebulan penat lelah dan bila tibanya hari gaji, keesokannya anda telah pun pokai kerana banyak komitmen yang perlu dilunaskan. Walaupun selesa dengan bos yang baik hati, kawan-kawan yang sekepala dan memahami tetapi bila hujung bulan anda mula sakit kepala. Kalau anda bekerja swasta, mungkin anda boleh berbincang dengan bos atau pihak pengurusan tentang masalah ini dan tanyakan pendapat bagaimana anda boleh menambah pendapatan, mungkinkah dengan menambah skop kerja anda? Mana tahu kan. Alternatif lain mungkin anda boleh cuba menjana pendapatan secara sampingan, tetapi yang ini memerlukan pengorbanan dari segi masa dan tenaga. Kalau semua pun tidak berhasil, mungkin sudah masanya anda mengintai kerja lain yang dapat memberi jumlah gaji yang anda harapkan.

Jika semua di atas ada dalam fikiran anda sebelum anda tidur, maka bertindaklah. Jangan sakitkan kepala anda dengan masalah-masalah begini. Hidup sudah pun dipenuhi dengan cabaran, jadi selesaikan apa yang perlu. Barulah kita dapat menikmati hidup yang lebih tenang. Kalau masalah-masalah kecil dikumpulkan sudah tentu akan jadi masalah yang lebih besar. 



P/S: Khas untuk diri aku sebenarnya yang rajin sangat memikir sebelum melelapkan mata. Hehe